Saluran dan rangkaian televisyen Televisyen di Amerika Syarikat

Terdapat tiga jenis asas telelvisyen di Amerika Syarikat, iaitu: televisyen terestrial atau "ke udara", yang boleh dicapai oleh sisapa yang memiliki TV dalam kawasan liputan; televisyen kabel dan televisyen satelit yang memerlukan langganan untuk menerima siarannya.

Televisyen siaran

Amerika Syarikat mempunyai sistem televisyen terpencar yang berorientasikan pasaran setempat (meliputi bandar raya atau kelompok daerah). Amerika Syarikat berbeza dari kebanyakan negara lain kerana tiada khidmat penyiaran kebangsaan. Sebaliknya, pasaran media setempat memiliki stesen televisyen sendiri yang boleh bersekutu atau dimiliki dan dikendali oleh rangkaian televisyen kebangsaan. Stesen televisyen boleh menandatangani perjanjian persekutuan dengan mana-mana rangkaian kebangsaan. Melainkan di pasaran amat kecil yang amat sedikit bilangan stesen, perjanjian persekutuan ini biasanya berbentuk eksklusif, iaitu sesebuah stesen yang menjadi sekutu NBC tidak boleh menyiarkan rancangan ABC, CBS atau mana-mana rangkaian lain.

Seklaipun begitu, untuk memastikan kehadiran kandungan setempat dalam penyiaran televisyen, undang-undang persekutuan negara mengehadkan jumlah rancangan rangkaian yang boleh disiarkan oleh stesen setempat. Sehingga 1970-an dan 1980-an, stesen setempat menyerikan rancangan rangkaian dengan pelbagai rancangan terbitan sendiri. Kini pula, kebanyakan stesen hanya menerbitkan berita tempatan, serta mengisi saki-baki intisari rancangan dengan rancangan bersindiket, atau bahan yang diterbitkan oleh syarikat bebas dan dijual ke stesen individu di setiap pasaran setempat.

Tiga rangkaian utama

Tiga buah rangkaian televisyen swasta di Amerika Syarikat adalah National Broadcasting Company (NBC) dan Columbia Broadcasting System (CBS) yang diasaskan pada zaman terawal teknologi televisyen (sebenarnya, ditubuhkan sebagai rangkaian radio pada 1920-an), dan American Broadcasting Company (ABC), yang asalnya merupakan rangkaian radio yang berpecah dari NBC pada tahun 1943. Di kota-kota besar, hampir semua stesen sekutu rangkaian-rangkaian tersebut bersiaran melalui jalur VHF yang mula-mulanya bertaraf hartanah premium sebelum televisyen kabel berleluasa, sehingga beralih ke televisyen digital pada 2009.

Stesen sekutu rangkaian utama amat serupa intisari rancangannya. Biasanya, siaran pada hari biasa bermula dengan berita awal pagi, diikuti rancangan pagi rangkaian seperti Today terbitan NBC yang menggabungkan laporan berita, ramalan cuaca, wawancara dan muzik. Rancangan bersindiket, terutamanya rancangan wawancara, mengisi waktu lewat pagi, diikuti berita tempatan pada waktu tengah hari (Waktu Timur). Drama lipur lara rangkaian menguasai awal petang, disusuli rancangan wawancara bersindiket seperti The Oprah Winfrey Show. Berita tempatan kembali pada pertengahan waktu petang, diikuti rancangan berita rangkaian kebangsaan sebelum waktu senja, diikuti lagi berita.

Sejam berikutnya (atay ½ jam di zon waktu Tengah) diisi lagi rancangan bersindiket sebelum tibanya waktu perdana, iaitu tiga jam yang paling banyak penontonan televisyen. Siri komedi keluarga selama ini menerajui awal waktu perdana, namun dewasa ini diganti oleh rancangan televisyen realiti seperti Dancing with the Stars, disusuli siri drama seperti CSI: Crime Scene Investigation, House, M.D., dan Grey's Anatomy pada waktu malam.

Pada jam 10 atau 11 malam, disiarkan lagi berita tempatan, disusuli oleh rancangan wawancara larut malam, seperti Late Show with David Letterman atau The Tonight Show with Conan O'Brien. Dari mematikan siaran pada waktu lepas tengah malam hingga subuh (seperti yang diamalkan hingga 1980-an), stesen TV kini mengisi masa ini dengan rancangan bersindiket, ulang tayang rancangan waktu perdana dan/atau berita tempatan, atau iklan setengah jam yang dikenali sebagai infomercial.

Pagi Sabtu biasanya mengetengahkan rancangan rangkaian yang ditujukan kepada kanak-kanak (termasuk kartun animasi), sementara pagi Ahad pula disiarkan rancangan hal ehwal awam yang memenuhi kewajipan stesen untuk menyediakan rancangan khidmat awam. Rancangan sukan dan informercial disiarkan pada tengah hari hujung minggu, diikuti oleh jenis rancangan waktu perdana sama yang disiarkan pada hari biasa.

Televisyen swasta ke udara yang lain

Dari tahun 1955 hingga 1986, semua stesen berbahasa Inggeris yang tidak bersekutu dengan tiga rangkaian terbesar adalah bebas, dan hanya menyiarkan rancangan terbitan sendiri atau bersindiket. Banyak lagi stesen bebas yang masih wujud di Amerika Syarikat yang lazimnya disiarkan melalui jalur UHF. Intisari rancangan stesen sedemikian banyak diisi rancangan bersindiket, yang selalunya berbentuk ulang tayang siri TV dan filem lama.

Pada 1986, munculnya pencabar baru Fox Broadcasting Company menyaingi tiga rangkaian utama. Susulan kejayaan rancangan The Simpsons dan sebagainya, tambahan pula pembelian hak oleh Fox untuk menyiarkan perlawanan National Football League, Fox berjaya menjadi sebuah penyiar televisyen utama. Fox berlainan dari tiga rangkaian lama kerana tidak menyiarkan berita tiap malam, intisari rancangan waktu perdananya cuma dua jam, beberapa stesen sekutunya di kota besar bersiaran melalui jalur UHF sebelum beralih ke siaran digital, dan dua stesen utamanya ialah WNYW di New York, bukan WFOX dan KTTV di Los Angeles, bukan KFOX (tetapi adanya KFOX-TV iaitu sekutu Fox di El Paso). Satu-satunya rancangan berita berjadual Fox ialah Fox News Sunday yang disiarkan pada pagi Ahad; liputan berita tergempar di rangkaian Fox pula disumbangkan oleh Fox News Channel. Kebanyakan stesen sekutu Fox kini menggunakan khidmat pemberita setempat, biasanya bersiaran sejam lebih awal berbanding rangkaian lain, justeru bersaing dengan drama rangkaian lain.

Pada 1990-an, wujudnya tiga rangkaian baru, iaitu The WB (1995), UPN (1995) dan PAX (1998; menjadi "i" pada 2005 dan ION pada tahun 2007). Rangkaian The WB dan UPN bergabung menjadi The CW pada musim luruh 2006, dan pada masa yang sama MyNetworkTV milik News Corporation (yang juga memiliki Fox) diasaskan untuk mengambil alih siaran UPN.

ION bersiaran selama 24 jam sehari, 7 hari seminggu, menjadikan rangkaian ION berwajib sepenuhnya untuk stesen-stesen sepenuhnya, tetapi juga menyiarkan infomercial di luar waktu perdana. MyNetworkTV bersiaran 12 jam seminggu, Isnin hingga Sabtu. The CW pula bersiaran 13 jam seminggu untuk waktu perdana, 10 jam lagi pada waktu siang.

Siaran televisyen bukan berbahasa Inggeris

Univision, sebuah rangkaian stesen berbahasa Sepanyol, ialah rangkaian TV kelima terbesar mengekori NBC, CBS, ABC dan Fox. Pesaing utamanya ialah Telemundo, sebuah rangkaian bersaudara NBC. Rangkaian berbahasa Sepanyol popular yang lain ke udara termasuk TeleFutura milik Univision yang disasarkan pada kelompok muda-mudi Hispanik, dan Azteca América versi Amerika Syarikat bagi TV Azteca dari Mexico.

Tambahan lagi, Rangkaian Televisyen Haiti yang bertapak di Miami, Florida menyiarkan rancangan terbitan sendiri berbahasa Kreol Haiti dan Perancis di Miami dan beberapa bahagian di kota-kota New Jersey, New York, dan Boston.

Juga terdapat sebilangan kecil stesen setempat yang bersiaran dalam Bahasa Isyarat Amerika beserta sari kata bahasa Inggeris.

Televisyen bukan swasta

Televisyen awam di Amerika Syarikat lebih kecil peranannya berbanding di negara lain. Tiadanya lembaga penyiaran milik negara. Sebaliknya, kerajaan persekutuan membiayai stesen televisyen bukan swasta melalui Perbadanan Penyiaran Awam. Hasil yang dikutip dari kerajaan tidak mencukupi untuk melangsaikan perbelanjaan, maka stesen-stesen ini terpaksa bergantung pada penajaan korporat dan dermaan penonton.

Stesen televisyen awam Amerika Syarikat menyiarkan rancangan yang tidak disiarkan oleh stesen swasta, seperti rancangan pendidikan, kebudayaan, dan hal-ehwal semasa. Kebanyakan stesen TV awam bersekutu dengan Public Broadcasting Service, maka berkongsi rancangan-rancangan seperti Sesame Street dan Masterpiece Theatre. Berbeza dari stesen swasta juga, PBS tidak menerbitkan rancangan sendiri; sebaliknya, stesen-stesen sekutu PBS menerbitkan dan membekalkan rancangan sesama sendiri. NYCTV, khidmat penyiaran milik perbandaran Bandar Raya New York, menghasilkan rancangan asli yang juga disiarkan di beberapa pasaran lain. Cuma sebilangan kecil bandar raya yang memiliki stesen TV utama milik perbandaran.

Juga wujudnya banyak stesen penyiaran keagamaan yang juga bergantung pada sumbangan penonton, termasuk Trinity Broadcasting Network, Daystar Television Network, The Word Network, Total Christian Television, dan INSP.

Televisyen kabel dan satelit

Pada mulanya, televisyen kabel hanya digunakan untuk memantulkan siaran televisyen ke udara ke kawasan yang sukar menerima isyarat dari udara. Mulai 1970-an, wujudnya rangkaian kebangsaan yang hanya bersiaran melalui kabel, bersama sistem TV kabel yang berkhidmat di bandar raya utama. Kini, ramai sekali isi rumah Amerika yang menerima TV kabel, maka rangkaian kabel pada keseluruhannya mengatasi rangkaian siaran ke udara dari segi jumlah penonton.

Rangkaian kabel berbeza dari rangkaian ke udara kerana menyiarkan intisari rancangan yang sama ke seluruh negara. Rangkaian kabel tersohor termasuk USA Network (hiburan am), ESPN dan Versus (sukan), MTV (muzik), Fox News dan CNN (berita), Syfy (cereka sains), Disney Channel (keluarga), Nick dan Cartoon Network (kanak-kanak), Discovery Channel dan Animal Planet (dokumentari), TBS (komedi), TNT (drama) dan Lifetime (wanita).

Pelanggan TV kabel menerima saluran-saluran sedemikian melalui pengendali sistem kabel setempat yang menerima kandungan dari rangkaian lalu memancarkannya ke rumah. Biasanya, kerajaan setempat mengurniakan hak monopoli kepada sebuah pengendali sistem untuk menyediakan perkhidmatan TV kabel dalam lingkungan kawasan tertentu. Undang-undang mewajibkan sistem kabel menyertakan saluran TV ke udara setempat untuk ditawarkan kepada pelanggan.

Kini, khidmat televisyen satelit penyiaran langsung yang wujud di A.S sejak 1990-an, turut menawarkan rancangan-rancangan yang sama dengan TV kabel. Dish Network dan DirecTV merupakan penyedia TV satelit utama di A.S. Pada mulanya, satelit dilancarkan dan digunakan oleh rangkaian televisyen sebagai kaedah mengedarkan rancangan dari ibu pejabat ke stesen-stesen sekutu setempat. Pada 1970-an, penduduk kawasan terpencil yang tiada dapat menerima siaran televisyen terestrial mendapati televisyen percuma boleh diterima dengan memasang ceper satelit besar dan menghalakannya ke arah satelit yang dimiliki rangkaian berkenaan. TV satelit memberi kelebihan kepada penggunanya kerana menyampaikan saluran yang tidak boleh diterima orang lain, termasuk rancangan tanpa iklan, suapan siaran langsung yang tidak sepatutnya disiarkan, siaran dari negara lain dan rancangan TV kabel. Untuk membanteras penerimaan kandungan berbayar secara percuma, isyarat satelit terpaksa dikarau. Teknologi pemancaran terkini membolehkan ceper satelit bersaiz kecil dan perkhidmatan berlangganan dikembangkan lagi.